Siaran Media: MESYUARAT PERTAMA JAWATANKUASA KHAS JAMINAN AKSES VAKSIN COVID-19 PERHALUSI PEROLEHAN VAKSIN

WhatsApp Image 2020-10-24 at 1.16.27 PM.jpeg

PUTRAJAYA, 24 OKTOBER 2020 – Menteri Kesihatan, Dato' Sri Dr. Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin telah mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV) pertama kali secara bersama semalam, untuk memastikan bekalan vaksin COVID-19 kepada negara dapat diperoleh dengan segera, selamat dan sempurna bagi melindungi rakyat Malaysia daripada COVID-19 seterusya membantu merancakkan kembali ekonomi negara.  

Objektif penubuhan JKJAV adalah untuk memastikan bekalan vaksin COVID-19 diperoleh segera dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertindak sebagai Jawatankuasa Induk dalam merancang, melaksana dan memantau keseluruhan strategi untuk pembekalan vaksin COVID-19 sehingga pelaksanaan program imunisasi dijalankan.

Dalam mesyuarat tersebut, beberapa jawatankuasa kecil turut dibentuk merentasi pelbagai Kementerian dan agensi bagi melaksanakan tugasnya dalam pemilihan, pendaftaran, kelulusan, pengimportan, penstoran, logistik, pengangkutan, pengagihan dan pemberian vaksin.

Empat jawatankuasa kecil tersebut adalah:

 

1.   Polisi Vaksinasi Kebangsaan dan Pemilihan Calon Vaksin Yang Sesuai

2.   Pendaftaran, Logistik dan Pembangunan Vaksin

3.   Kewangan dan Perolehan

4.   Komunikasi

 

Setakat ini, KKM telah berhubung dengan lapan calon vaksin yang kini berada di peringkat ujian klinikal fasa tiga.  Bekalan vaksin ini dijangka mula diperolehi pada suku pertama 2021 dengan keutamaan bakal diberikan kepada para petugas barisan hadapan meliputisektor kesihatan dan keselamatan seperti doktor, jururawat, polis, petugas penjara dan imigresen. 

Selain itu, Kerajaan juga sedang memuktamadkan rundingan dengan pihak COVAX yang mempunyai sembilan calon vaksin di bawah Global Alliance for Vaccine and Immunisation (GAVI). Kerajaan akan menyediakan peruntukan kewangan bagi tujuan pembelian vaksin melalui Tabung COVID-19 Kementerian Kewangan Malaysia

Kerajaan komited untuk mendapatkan keputusan segera bagi perolehan vaksin COVID-19 bagi memastikan negara tidak ketinggalan dalam mendapatkan bekalan vaksin yang telah diluluskan dan terbukti selamat kelak.

 

 

-       TAMAT   -

 

Dikeluarkan oleh:

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) 

dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM

Previous
Previous

PRESS STATEMENT (IN REPLY TO RONNIE LIU)

Next
Next

SIARAN MEDIA: PENUBUHAN JAWATANKUASA KHAS JAMINAN AKSES BEKALAN VAKSIN COVID-19